Kamis, Februari 14, 2008

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi
s.a.w, baginda bersabda:



Orang mukmin tidak akan tersesat (terjerumus) ke dalam
lubang yang sama sebanyak dua kali.

(Hadis disepakati bersama oleh Imam Bukhari dan
Muslim).


-------------------------------------------------------

Kesimpulan Hadis:

1- Kewajipan supaya berhati-hati dan berwaspada dalam
semua perkara supaya orang mukmin tidak dapat ditipu
oleh musuhnya, tidak tertipu oleh hawa nafsunya
sendiri dan tidak tertipu oleh kehidupan dunianya.

Diriwayatkan daripada Muaz bin Anas r.a, daripada Nabi
s.a.w baginda bersabda:
Sesiapa yang menahan marah sedangkan dia boleh
melepaskan kemarahannya, maka pada hari kiamat Allah
s.w.t akan memanggilnya di hadapan semua makhluk
kemudian dia disuruh untuk memilih mana-mana bidadari
yang diinginkan olehnya.

(Hadis riwayat Imam Tirmizi).

-------------------------------------------------------

Kesimpulan Hadis:

1- Galakan supaya memendam kemarahan.
2- Nilai memaafkan kesalahan orang lain ketika mampu
sama dengan orang yang insaf.
3- Kekuatan mental dan kekuatan fizikal akan jelas
terpamer dalam situasi yang tertekan sehingga boleh
membangkitkan kemarahan apabila seseorang itu dapat
mengawal kemarahannya dan dapat memendam perasaannya

Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah
s.a.w bersabda:
Tolonglah saudara kamu yang melakukan kezaliman dan
yang dizalimi. Lalu seorang lelaki berkata: Wahai
Rasulullah, aku akan menolongnya jika dia dizalimi
(menghalang daripada dia dizalimi), tetapi apa
pandangan kamu jika dia melakukan kezaliman, bagaimana
cara untuk aku menolongnya? Baginda menjawab: Kamu
menghalang atau kamu melarang dia dari melakukan
kezaliman atau penganiayaan. Itulah cara menolongnya.

(Hadis riwayat Imam Bukhari).

-------------------------------------------------------

Kesimpulan Hadis:

1- Nabi s.a.w mentafsirkan dasar "Bantulah saudara
kamu sama ada yang melakukan kezaliman atau yang
dizalimi" dengan penafsiran moral yang sangat baik di
mana baginda memindahkannya dari nilai yang boleh
meruntuhkan kepada nilai yang boleh membina dan dari
kebatilan kepada kebenaran.
2- Seruan Rasulullah s.a.w supaya berurusan sesama
manusia secara mendorongnya melakukan kebaikan dan
melarangnya dari melakukan kejahatan.

Diriwayatkan daripada Amr bin Syu'aib, daripada
ayahnya, daripada datuknya r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Perintahlah anak-anak kamu
supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh
tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan
sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan
asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan
perempuan).

(Hadis riwayat Abu Daud).

-------------------------------------------------------

Kesimpulan Hadis:

1- Bapa diwajibkan menyuruh anak-anak mereka yang
telah berumur tujuh tahun supaya mendirikan
sembahyang, mengajar hukum yang berkaitan dengan
sembahyang kepada mereka dan membiasakan mereka dengan
mendirikan sembahyang serta menghukum mereka apabila
mereka meninggalkannya walaupun secara memukul mereka.

2- Bapa wajib menjaga anak-anak mereka dari
terpengaruh dengan apa jua fitnah dan untuk tujuan
tersebut bapa hendaklah memisahkan tempat tidur
anak-anak mereka.
3- Umur mumayyiz dan belajar adalah bermula dari umur
tujuh tahun manakala umur di ambang remaja pula adalah
bermula dari umur sepuluh tahun. Inilah petunjuk
tarbiah (asuhan) yang diberikan oleh Nabi s.a.w
sekaligus menjelaskan tentang ciri-ciri kanak-kanak
dan anak di ambang umur remaja dari sudut tarbiah
(asuhan) dan pendidikan.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr r.a,
sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:
Dunia adalah perhiasan (kesenangan) dan sebaik-baik
perhiasan (kesenangan) di dunia adalah wanita yang
solehah.

(Hadis riwayat Imam Muslim).

-------------------------------------------------------

Kesimpulan Hadis:
1- Dorongan supaya memilih wanita yang solehah kerana
wanita yang solehahlah yang boleh membahagiakan suami
di dunia ini dan membantunya untuk taat kepada Allah
s.w.t.
2- Di antara kesan betapa perlunya wanita solehah
ialah supaya suami merasa tenang dengan teman hidupnya
yang mengetahui semua rahsianya dan dapat menjamin
pendidikan anak-anak serta menjaga harta dan maruah
keluarga.